Berita

Sikap Gemar Guna Laluan Laju Penyumbang Kemalangan Penunggang Motosikal

153views

KAJANG, 5 Nov — Sikap penunggang motosikal dengan enjin berkuasa 250cc ke bawah yang menunggang secara melulu dengan mencelah antara kenderaan dan gemar menggunakan laluan laju menjadi punca berlakunya banyak kemalangan melibatkan pengguna kenderaan dua roda itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Datuk Suret Singh berkata pada tahun lepas sahaja, lebih 4,000 penunggang motosikal dilaporkan maut dengan purata 11 kematian setiap hari.

Kajian MIROS mendapati 50 peratus kemalangan berlaku di jalan persekutuan, diikuti kemalangan di jalan perbandaran (19 peratus), jalan negeri (16 peratus), jalan kawasan perumahan (12 peratus) dan lebuh raya (tiga peratus).

Suret berkata hasil kajian MIROS pada 2012 hingga 2017 mendapati hanya tiga peratus kemalangan membabitkan penunggang motosikal berlaku di lebuh raya kerana mereka menggunakan laluan kiri berbanding kanan.

“Pemerhatian kita mendapati motosikal kelas berkenaan gemar menggunakan laluan laju, sedangkan kelajuan di laluan itu boleh mencecah sehingga 120km sejam (km/jam) berbanding kelajuan di lorong kiri 70 km/jam.

“Jadi, sudah tiba masanya penunggang motosikal ini memupuk kawalan kendiri dengan mengutamakan keselamatan jalan raya dengan menunggang di laluan sebelah kiri bagi mengurangkan risiko kemalangan maut,” katanya temu bual eksklusif Bernama di pejabat MIROS di sini, baru-baru ini.

Suret berkata motosikal kelas berkenaan tidak sesuai untuk berada di lorong kanan kerana sistem breknya tidak secekap kenderaan dengan enjin berkuasa tinggi.

Menurutnya penunggang motosikal kelas itu yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Beliau menasihati penunggang motosikal supaya mengamalkan peraturan dan Undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan seperti yang mereka pelajari di Institut Latihan Memandu.

Source link