Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSime Darby Property yakin mampu capai sasaran jualan RM2.6 bilion

Sime Darby Property yakin mampu capai sasaran jualan RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Sime Darby Property Bhd yakin bahawa ia mampu meraih sasaran jualan RM2.6 bilion untuk tahun kewangan 2022 melalui keupayaan jualan yang dipertingkatkan, pelancaran strategik dan persekitaran kadar faedah yang rendah yang terus menyokong pasaran hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Azmir Merican berkata jualan suku pertama tahun kewangan 2022 yang menghampiri RM900 juta adalah petunjuk bahawa penawaran produknya adalah kompetitif.

“Kami terus berprestasi baik memandangkan jualan belum dibilkan kami telah melangkaui hasil pembangunan hartanah sejak suku ketiga tahun kewangan 2021 dan pada masa yang sama, menjangkakan kadar pengambilan yang baik akan berterusan dari tahun kewangan 2021 hingga ke tahun ini,” katanya pada taklimat media suku pertama tahun kewangan 2022 syarikat itu hari ini.

Kumpulan tersebut mensasarkan pelancaran 3,976 unit bernilai RM2.8 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) bagi tahun kewangan semasa, yang merangkumi 81 peratus kediaman bertanah serta menara dan 16 peratus hartanah perindustrian

Ia telah melancarkan produk bernilai RM383.5 juta pada suku pertama dengan rancangan untuk melancarkan 1,007 unit lagi dengan GDV berjumlah RM803.4 juta pada suku kedua.

Kumpulan itu mensasarkan untuk memastikan inventorinya di bawah 10 peratus daripada jumlah pembangunan harta bagi tahun kewangan 2022.

Azmir ketika mengulas mengenai projek stesen kuasa Battersea di United Kingdom (UK) yang secara rasmi akan dibuka pada September ini, berkata walaupun kadar inflasi telah mencecah sembilan peratus tinggi, terdapat kekurangan dalam unit perumahan baharu.

“Permintaan di UK sentiasa kukuh dan berbanding Malaysia, UK akan menetapkan satu dasar mengenai kecepatan pergerakan kadar faedahnya dan kami akan memantau perkembangan ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai kos bahan mentah yang semakin meningkat, masalah kekurangan buruh termasuk gangguan rantaian bekalan, Azmir berkata reka bentuk yang agak ringkas adalah antara langkah-langkah yang diambil bagi melindungi margin kasar dalam perniagaan pembangunan hartanah.

Syarikat itu juga akan melihat bahan -bahan yang digunakan dan alternatif yang tersedia untuk meminimumkan kos.

“Kami memastikan bahawa kami memilih bahan yang tepat walaupun dengan keadaan harga yang sentiasa berkembang,” katanya.

Syarikat itu berhasrat untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh dengan secepat mungkin kerana ini menghalang mereka daripada menjalankan projek pada kelajuan sebelumnya, mengakibatkan beberapa projek mengambil masa yang lebih lama dan “ini meningkatkan kos”, katanya.

Ketika bercakap mengenai perniagaan pengurusan dana, Azmir menjelaskan bahawa Dana Pembangunan Perindustrian Hartanah LOGOS sulungnya berada di landasan untuk menutup tirai tahun ini dengan sasaran antara RM850 juta dan RM1.2 bilion.

“Fokus kami adalah untuk mengubah dan mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah kami selain mempelbagaikan pendapatan syarikat,”katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular