info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Simpan Gambar/Video IS : Warga Indonesia Mengaku Tidak Bersalah

32views

KUALA LUMPUR, 13 Okt  — Seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki video dan gambar berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya.

Irwanzir, 30, yang berasal dari Acheh, Indonesia membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu didakwa memiliki lima video dan 29 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas berkenaan di belakang sebuah rumah di  Permatang Pasir, Balik Pulau, Pulau Pinang pada 9.30 pagi 6 Jan 2020.

Dia yang tidak diwakili peguam juga dituduh memiliki tujuh video dan 28 keping gambar yang berunsurkan perbuatan keganasan di telefon sama, pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan itu.

Mahkamah menetapkan 13 Nov untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.

Pada 31 Jan lepas,  Irwanzir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya kerana kes melibatkan pengganas dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Source link