Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSimpanan stok ayam bulat pertama tiba hari ini

Simpanan stok ayam bulat pertama tiba hari ini

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mula mengimport ayam bulat daripada pengeluar ayam dengan simpanan stok pertama sebanyak 21 tan metrik dalam satu kontena akan tiba hari ini.

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengimportan ayam itu adalah daripada pengeluar yang telah mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Bekalan ayam seterusnya akan dibawa masuk ke dalam negara pada Isnin ini iaitu tiga kontena yang akan ditempatkan di bilik sejuk beku NAFAS di Sungai Bakap, Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

LPP memaklumkan lembaga itu melalui NAFAS dan Gabungan Pertubuhan Peladang Negeri telah diberi peranan utama untuk melaksanakan program stok penimbal ayam bagi tujuan menstabilkan keperluan bekalan ayam negara.

Menurut LPP, program tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan gabungan berkenaan, terutama dalam penggunaan kemudahan bilik sejuk.

Sementara itu, LPP memaklumkan pengedaran ayam pula adalah melalui jaringan rangkaian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan FAMA, dengan LPP akan memantau pelaksanaan penjadualan pengimportan oleh NAFAS.

Tiga PPN iaitu PPN Selangor, Johor dan Perak dikenal pasti bagi membantu NAFAS menjayakan program tersebut dengan beberapa PPN lain akan turut sama dilibatkan mengikut keperluan semasa.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular