Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSingapura rampas komponen, rokok elektronik bernilai lebih S$130,000

Singapura rampas komponen, rokok elektronik bernilai lebih S$130,000

SINGAPURA, 25 Mei (Bernama) — Pihak berkuasa Singapura merampas komponen dan e-vaporiser atau rokok elektronik bernilai lebih lebih S$130,000 daripada tiga lori berpendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands pada 9 dan 13 Mei.

“Ketiga-tiga kes telah dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut. Empat lelaki rakyat Malaysia, berumur antara 27 dan 52 tahun, kini ditahan bagi membantu siasatan HSA,” menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dan HSA hari ini.

Kenyataan itu menyatakan pada 9 Mei, pegawai ICA menggagalkan cubaan menyeludup 8,520 keping pod isian semula rokok elektronik ke Singapura melalui lori pengangkut konkrit pratuang.

Pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas yang menjalankan pemeriksaan lanjut menemukan pod isian semula rokok elektronik disembunyikan di dalam kenderaan itu.

Sementara itu, pada 13 Mei, pegawai ICA menggagalkan dua lagi percubaan menyeludup rokok elektronik pakai buang dan pod isian semula ke Singapura.

Menurut kenyataan itu di bawah Akta Tembakau Singapura (Kawalan Iklan dan Penjualan) melarang import, pengedaran, penjualan atau tawaran untuk penjualan produk tembakau berbahaya atau tiruan.

Individu yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh didenda sehingga S$10,000, atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda sehingga S$20,000, atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

“Semua barangan tembakau terlarang akan dirampas dan dimusnahkan,” menurut kenyataan itu.

Sejak 1 April 2022 hingga kini, tujuh kes membabitkan penyeludupan komponen dan rokok elektronik melibatkan lori yang berdaftar di Malaysia telah dikesan ICA di pusat pemeriksaan.

Dua daripada lelaki Malaysia yang terlibat dalam satu daripada kes itu telah disabitkan di Mahkamah pada 12 April, dan dijatuhi hukuman penjara seminggu serta denda S$1,500.

“Baki enam lagi kes masih menunggu siasatan atau tindakan mahkamah,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular