info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Singapura Tarik Status PR Rakyat Ingkar SOP

83views

SINGAPURA, 5 Feb — Tidak cukup dipenjarakan kerana melanggar peraturan COVID-19, seorang lelaki pemegang status penduduk tetap (PR) republik ini turut kehilangan keistimewaan yang dimilikinya.

Perkara itu didedahkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) hari ini.

Chong Tet Choe, 47, didapati keluar dari rumah sebanyak empat kali untuk membeli makanan dan menambah nilai kredit pada telefon bimbitnya walaupun doktor mengarahkannya supaya duduk di rumah kerana sakit.

Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara selama dua minggu pada Ogos lalu kerana melanggar peraturan COVID-19 itu.

ICA, dalam satu kenyataan, berkata status penduduk tetap Singapura seseorang yang disabit kesalahan akan diteliti semula oleh pihaknya.

“Mereka yang gagal mematuhi notis jangan keluar rumah boleh didakwa di bawah Peraturan Penyakit Berjangkit (COVID-19 – Perintah Jangan Keluar Rumah) 2020 dan dalam kes Tet Choe, ICA sudah menarik balik status PRnya semalam,” katanya.

Lelaki itu mengaku bersalah tahun lalu atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan, ketika terdapat kemungkinan dia positif COVID-19.

Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga S$10,000 (RM30,440) atau penjara sehingga enam bulan.

Menurut ICA, warga asing mungkin menghadapi ‘tindakan pentadbiran lanjut’ oleh ICA atau Kementerian Tenaga Manusia, seperti menarik balik atau menyingkatkan tempoh permit dan pas untuk kekal serta bekerja di Singapura. – AGENSI

Source Link