Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSingapura tuan rumah Dialog Shangri La ke-19 bermula Jumaat

Singapura tuan rumah Dialog Shangri La ke-19 bermula Jumaat

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 9 Jun (Bernama) — Singapura akan menjadi tuan rumah Dialog Shangri-La (SLD) ke-19, persidangan pertahanan dan keselamatan, berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat (10 Jun) dan dihadiri 42 negara, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef).

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dijadual menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan, memetik kenyataan kementerian itu di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen, dijangka berucap mengenai topik “Idea Baharu untuk Menjamin Kestabilan Serantau” pada sidang pleno ketujuh di hari terakhir persidangan.

“Dr Ng akan menjadi hos kepada menteri-menteri terlibat untuk perbincangan Meja Bulat pada 11 dan 12 Jun. Dr Ng juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan menteri dan pegawai kanan dari pelbagai negara di luar SLD,” menurut kementerian itu.

Dianjurkan Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS), SLD juga bakal menyaksikan kehadiran 37 delegasi peringkat Menteri dan lebih 30 pegawai kanan pertahanan termasuk Panglima Angkatan Tentera serta ahli akademik terkemuka.

Presiden Singapura Halimah Yacob juga akan menganjurkan majlis makan malam di Istana untuk para perwakilan pada Sabtu.

SLD ditubuhkan pada 2002, berfungsi sebagai persidangan pertahanan dan keselamatan terulung di rantau Asia-Pasifik.

Sejak penubuhannya, SLD telah menyediakan platform terbuka dan neutral untuk bertukar pandangan mengenai isu serta inisiatif pertahanan dan keselamatan.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular