Berita

Sisa Terjadual Dibuang Melalui Tandas, Punca Loji Rawatan Kumbahan IWK Dipenuhi Cecair Merah

73views

SHAH ALAM, 11 Nov — Sebuah stor pembuangan sisa terjadual di Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca kepada pencemaran Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, tengah hari semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata serbuan bersepadu telah dilaksanakan oleh polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas premis berkenaan yang terletak kira-kira 700 meter berhampiran Sungai Gong semalam.

“Hasil serbuan tersebut kita menjumpai hos dan premis berkenaan didapati membuang sisa terjadual ini ke dalam tandas. Polis juga telah mengenal pasti pemilik premis itu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Hee berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai status pencemaran air di Sungai Selangor semalam.

Tambah beliau, tindakan premis terbabit yang membuang sisa terjadual ke dalam tandas disyaki menjadi punca loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menerima sisa buangan berwarna merah dan ia dipercayai berlaku pada 4 Nov lepas.

Katanya, IWK hanya memaklumkan mengenai penerimaan sisa terjadual itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut namun tidak pula memberitahu kerajaan negeri Selangor.

“IWK telah buat laporan polis pada masa itu dan SPAN bersetuju untuk mengangkat terus (sisa buangan terjadual) menggunakan lori IWK ke tempat lain. Loji rawatan kumbahan tersebut juga telah dihenti tugas sejak 4 Nov.

“Pihak LUAS serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan kalau kita tahu (lebih awal), kita akan lakukan tindakan sewajarnya secepat mungkin,” katanya.

Jelas Hee, insiden pencemaran bau semalam merupakan risiko kali keempat ditimbulkan IWK tahun ini dan pihak terbabit seharusnya bertanggungjawab menjaga dengan lebih baik loji rawatan kumbahan mereka.

“Ini kali keempat perkara seumpama ini berlaku…dua kali di Bukit Mahkota, Semenyih, di Batang Kali, Hulu Selangor dan kali ini di Rawang,” katanya.

Justeru kata Hee, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan akan mendakwa sesiapa sahaja yang mengakibatkan pencemaran berkenaan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen LUAS 1999.

Semalam, Air Selangor memaklumkan henti tugas empat LRA itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang berikutan pencemaran sumber air mentah.

— BERNAMA

Source link