Sistem Inforia Tesla Model S Dan Model X Kini Boleh Memainkan Cyberpunk 2077

Salah satu kelebihan kenderaan-kenderaan elektrik Tesla selain daripada prestasinya yang hebat ialah ia juga mempunyai sistem inforia yang boleh dikatakan antara yang paling canggih di pasaran.

Jika sebelum ini kereta-kereta Tesla boleh memainkan sejumlah permainan-permainan video yang mudah, kemas kini yang baru dikeluarkan untuk kenderaan Tesla Model S dan Model X membolehkan sistem inforia itu untuk memainkan permainan-permainan daripada aplikasi permainan Steam.

Malah, video terbaru yang dikeluarkan Tesla memperlihatkan kemampuan skrin 17 inci dalam kereta tersebut untuk menggerakkan salah satu permainan yang paling mencabar untuk kebanyakan komputer, iaitu Cyberpunk 2077.

Sistem inforia Tesla Model S dan Model X dilaporkan dikuasakan oleh gabungan AMD Zen+ dan juga cip pemprosesan grafik AMD RDNA2 yang mempunyai 28 CU, dan dikatakan mempunyai prestasi hampir sama seperti sebuah komputer yang menggunakan kad grafik AMD Radeon RX6600M.

Kemas kini untuk sistem inforia ini sudahpun mula diperkenalkan untuk Tesla Model S dan Tesla Model X.

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button