
Sistem Penapisan Komen YouTube Kini Menggunakan AI Untuk Memadam Mesej Cacian
Ruangan komen di media sosial kerap disalahgunakan bagi meninggalkan kandungan yang menghina, lucah dan kadang kala keluar daripada topik. Menjadi tugas pengawal komuniti untuk menapis kandungan sebegini dan kemudian mengharamkan pengguna yang meninggalkannya. Tetapi dengan ribuan komen boleh ditinggalkan ketika sesi penstriman, tugas ini menjadi terlalu besar untuk seorang manusia.
YouTube telah menambah baik sistem penapisan komen mereka ketika penstriman bagi mengelakkan insiden komen yang tidak menepati piawaian platform daripada ditinggalkan. Dengan menggunakan kecerdasan buatan, komen berbentuk cacian dan menghina boleh ditapis secara automatik. Menurut YouTube 1.1 bilion komen telah berjaya dipadam dalam 6 bulan pertama 2022.
Pengguna yang meninggalkan komen sebegini akan diberikan amaran secara automatik oleh sistem dan komen akan dipadam secara automatik. Jika mereka mengulangi sekali lagi, halangan selama 24 jam akan diberikan secara automatik sebagai hukuman. Pemilik saluran masih boleh melakukan halangan pengguna secara kekal sekiranya ini adalah langkah yang lebih sesuai. Buat masa ini ciri ini hanya boleh digunakan pada chat dan komen dalam Bahasa Inggeris sahaja.
Selain sistem penapisan komen yang lebih baik, YouTube turut memperkenalkan notifikasi berapa lama masa diperlukan untuk memproses video yang dimuat naik.