Berita

Sistem Peperiksaan SPM Yang Telah Berusia 50 Tahun Perlukan Transformasi

93views

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Selepas hampir setahun pandemik COVID-19 melanda negara, pendidikan dilihat antara sektor yang memerlukan perubahan secara holistik termasuklah aspek sistem peperiksaan dan pensijilan, terutamanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam menilai kemampuan pelajar.

Lebih 400,445 calon SPM tahun 2020 terkesan bukan sahaja persediaan pembelajaran tetapi juga emosi mereka apabila peperiksaan yang sepatutnya diduduki pada November tahun lepas terpaksa ditangguhkan kepada 22 Feb ini.

SPM, yang dikatakan sebagai penentu utama kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, telah diperkenalkan dalam tahun 1964 dan kini semakin matang namun ramai berpandangan sistem penilaian pelajar yang sedia ada itu perlu berubah mengikut perkembangan teknologi masa kini.

Bekas Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Khodori Ahmad yang berpengalaman lebih 30 tahun berkhidmat dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia berkata sistem peperiksaan SPM yang telah berumur lebih 50 tahun itu wajar menjalani satu proses transformasi bersesuaian dengan perkembangan zaman khususnya perkembangan teknologi maklumat yang begitu laju.

“Sistem peperiksaan sedia ada telah melahirkan suasana ‘penilaian berasaskan mata pelajaran’ di sekolah yang sangat digusarkan oleh ramai pendidik. Melalui transformasi peperiksaan SPM ini, bukan sahaja kita akan memberikan peperiksaan yang kalis COVID, malahan kita boleh mengubah suasana di sekolah menjadi sistem penilaian yang menyokong potensi individu,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas tentang cadangan daripada ahli akademik dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) agar penilaian pelajar dirombak termasuk peperiksaan utama SPM dengan Penilaian Berterusan Sekolah (PBS).

Khodori berkata peperiksaan SPM tidak boleh terus menggunakan kaedah yang sama sebagaimana diperkenalkan 50 tahun dulu tanpa mengubahnya kerana perlu bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Sekiranya kita tidak berubah dalam usaha mentransformasikan peperiksaan SPM, kita akan dilihat sebagai ketinggalan zaman sebab terus menggunakan cara tradisional, katanya.

Namun beliau mengingatkan sebarang usaha mengubah sistem peperiksaan SPM perlu dilakukan dengan berhati-hati dengan tahap keprofesionalan yang tinggi dan mereka yang dilibatkan dalam proses mengubah SPM harus dapat membezakan antara SPM sebagai pensijilan dan SPM sebagai peperiksaan.

“Pensijilan SPM yang menunjukkan tahap pencapaian pendidikan murid Tingkatan Lima perlu dikekalkan dan dipertahankan kerana sudah diiktiraf di seluruh dunia. Cadangan saya ialah kita transformasikan peperiksaan SPM tanpa mengubah status dan kedudukan pensijilan SPM,“ katanya.

Memperincikan cadangannya itu, Khodori berkata transformasi peperiksaan SPM boleh dilakukan dengan mengintegrasikan teknologi seperti CIB – Comprehensive Item Bank, LTDB Lifetime Database, OLTAS – On-line Test Administration System sebagai enabler.

Mengambil contoh kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan peperiksaan tertangguh kerana ditakuti pelajar akan terdedah kepada wabak apabila mereka berkumpul beramai-ramai di dalam dewan peperiksaan, katanya melalui transformasi itu, peperiksaan dalam bentuk digital boleh disediakan kepada para pelajar.

“Melalui pendigitalan ini peperiksaan boleh diambil melalui pendekatan multiple delivery.  Tiada lagi peperiksaan serentak seperti yang diduduki calon SPM selama ini dan ia akan membantu pelajar terutama ketika berhadapan situasi pandemik seperti hari ini. Mereka mengambil peperiksaan secara berperingkat,” katanya.

Jelas beliau lagi, menerusi pendekatan itu, perlunya satu kaedah untuk memastikan soalan-soalan yang berbeza itu mengukur perkara yang sama.

“Dengan kaedah itu, pelajar juga boleh menduduki peperiksaan pada bila-bila masa mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan,” katanya, sambil menambah dengan pendigitalan peperiksaan SPM, tidak akan timbul kerisauan terhadap soalan bocor sebab calon tidak lagi menjawab soalan yang sama.

Khodori berkata transformasi itu akan memberi  peluang untuk melebarkan cakupan peperiksaan yang menumpukan aspek intelek kepada aspek lain seperti jasmani, emosi dan rohani serta perubahan baharu itu juga akan memberi ruang kepada pelajar pengalaman menggunakan pelbagai instrumen baharu dalam bentuk digital yang serasi dengan Pendidikan Abad 21 dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam peperiksaan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor turut bersetuju agar peperiksaan SPM ditambah baik untuk disesuaikan dengan perubahan semasa.

Menurutnya pendidikan dan pensijilan merupakan elemen penting dalam memastikan masa depan anak bangsa terus terpelihara dan maju terutama bagi keluarga berpendapatan sederhana atau miskin yang  mengharapkan  anak-anak meraih keputusan cemerlang dalam SPM untuk mengubah masa depan menjadi lebih baik.

Penambahbaikan boleh dilakukan dengan mengurangkan subjek yang perlu diambil dalam SPM kerana jumlah lapan hingga 11 subjek dalam tempoh peperiksaan lebih kurang sebulan terlalu banyak dan berat kepada pelajar.

“Ini akan menjejaskan kefahaman selain menambah tekanan yang menyebabkan budaya menghafal dan belajar untuk peperiksaan. Habis sahaja exam mereka lupa semua yang dipelajari.

“Saya cadangkan semasa Tingkatan Empat, pelajar mungkin boleh mengambil lima subjek dan semasa Tingkatan Lima boleh ambil baki subjek lain seperti kaedah semester di universiti..semester 1 (Tingkatan Empat) dan semester 2 (Tingkatan Lima),” katanya, sambil menambah jika ada subjek yang gagal ketika semester pertama, boleh diulang semasa Tingkatan Lima.

Tegas beliau, SPM perlu terus kekal dan tidak boleh dibuat penilaian berasaskan sekolah kerana kita masih memerlukan satu sistem penilaian yang standard untuk semua pelajar.

“Jika tiada lagi sijil SPM, mereka yang berkemampuan boleh mengambil peperiksaan lain seperti General Certificate of Education (GCE) namun yang tidak berkemampuan akan sekadar berpuas hati dengan pengganti SPM (sebagai sistem penilaian pelajar dan pensijilan baharu)  yang belum tentu masa depan dan kemampuannya,” katanya.

— BERNAMA

Source link