Sivasangari akan sertai dua kejohanan PSA setiap bulan bermula Mac depan

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari dijangka menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) setiap bulan bermula Mac depan, kata Pengarah Persatuan Raket Squasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam.

Beliau berkata pemain berusia 23 tahun itu perlu mendapatkan minit permainan secukupnya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Jun lepas selain beliau antara pemain yang disenaraikan untuk menggalas cabaran negara di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China pada September tahun depan.

“Dia sudah mula menjalani latihan tiga minggu lepas tetapi tahapnya masih tidak sama berbanding sebelum ini sebab dia punya leher masih lagi tegang dan memerlukan sedikit masa untuk pulih. Saya boleh kata tahap kesihatannya dalam 70 peratus.

“Bulan depan (Januari) beliau kemungkinan akan menyertai kejohanan pertama selepas kemalangan iaitu Kejohanan Individu Kolej Kebangsaan, Persatuan Skuasy Kolej (CSA) di Amerika Syarikat (AS) mewakili Universiti Cornell. Pada Mac beliau akan mula sertai dua atau tiga PSA tournament dalam persediaan ke Sukan Asia nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Maniam bagaimanapun memaklumkan Sivasangari yang pulang ke AS esok (14 Dis) masih akan meneruskan rawatan fisioterapi di universitinya untuk membolehkan beliau pulih sepenuhnya serta kembali beraksi dalam gelanggang skuasy seperti sedia kala.

Beliau menyifatkan anak buah jurulatih Universiti Cornell David Palmer, yang kini menghuni ranking ke-19 dunia itu berada dalam landasan yang tepat untuk kembali melakar kemenangan pada tahun hadapan.

“Walaupun proses pemulihan sudah berakhir, dia masih perlu menjalani fisioterapi untuk melonggarkan tisu leher dan ototnya, seperti yang saya katakan ia proses yang perlahan namun saya percaya dalam sebulan dia akan baik,” katanya.

Sivasangari yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Maju pada 3.46 pagi, 26 Jun lepas, merupakan penumpang sebuah kereta yang terbakar 90 peratus selepas bertembung sebuah lori muatan satu tan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button