Berita

SKMM Ambil Masa Yang Panjang Untuk Siasat Berita Tidak Benar

166views

ALOR SETAR, 14 Mac — Siasatan untuk menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 dan Proklamasi Darurat akan menjadi lebih cepat selepas pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebelum ini ada kes berita tidak benar mengambil beberapa bulan untuk disiasat secara prosedur biasa mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil masa panjang untuk menyiasat pemilik akaun media sosial dan sebagainya, banyak prosedur perlu diikut tapi dengan adanya ordinan ini, ia akan menjadi lebih cepat.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, sebelum ordinan ini dibuat pun hampir 300 kes (berita tidak benar) membabitkan aduan kepada polis dan SKMM, sebab itu kita kena cepat selesaikan kes seperti ini,” katanya.