Uncategorized

Solarvest lancar program pembiayaan solar Powervest

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd telah melancarkan program pembiayaan solar baharunya, Powervest, bagi mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan syarikat perniagaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong Chun Shiong berkata program ini merangkumi dua model kewangan yang kompetitif, Powerflex dan Powerlease, yang disasarkan kepada pengguna komersial dan industri dengan keperluan pembiayaan yang berbeza.

“Pelancaran Powervest sejajar dengan usaha kami untuk menjadikan tenaga bersih lebih mudah, berpatutan dan senang diakses.

“Walaupun kami menyedari bahawa tidak ada satu penyelesaian yang boleh disesuaikan untuk semua apabila mahu melabur dalam sistem fotovolta solar (PV), kami menawarkan penyelesaian pembiayaan yang kami yakin cukup komprehensif bagi memenuhi keperluan pembiayaan yang pelbagai untuk pelanggan kami yang berpotensi,” kata beliau di majlis pelancaran Powervest secara maya hari ini.

Chong berkata model Powerflex menawarkan pakej kewangan yang fleksibel dengan kos pendahuluan sifar.

“Syarikat perniagaan boleh memilih untuk memiliki sepenuhnya sistem PV solar dengan mendapatkan pembiayaan 100 peratus, atau mereka boleh memiliki aset secara bersama Solarvest, yang mana dalam hal ini mereka hanya perlu memohon pembiayaan kewangan untuk 50 peratus.

“Bayaran balik akan dibuat secara ansuran bulanan kepada institusi kewangan masing-masing dan Solarvest dalam jangka masa mengikut kesesuaian, antara tiga hingga 10 tahun,” katanya.

Sementara itu, Chong berkata model Powerlease, yang berada di pasaran sejak 2017, adalah perjanjian sewa jangka panjang antara Solarvest dan rakan kongsinya untuk penjualan dan pembelian tenaga elektrik yang dihasilkan daripada sistem PV solar yang akan dipasang.

“Pelanggan akan membayar Solarvest dan rakan kongsinya kadar tarif sehingga 30 peratus lebih rendah daripada yang biasanya dikenakan oleh penyedia utiliti mereka sambil menikmati kos operasi dan penyelenggaraan percuma sepanjang tempoh penyewaan,” tambah beliau.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button