Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBerita‘Speedy Tigers’ layak ke Piala Dunia 2023

‘Speedy Tigers’ layak ke Piala Dunia 2023

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Skuad hoki lelaki negara berjaya menempah slot ke Piala Dunia 2023, yang dijadual berlangsung di India pada 13 hingga 29 Jan tahun depan.

Ini berikutan India, yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kejohanan berprestij itu atas kapasiti tuan rumah layak ke kelompok ‘Super 4’ Piala Asia 2022 di Jakarta, selepas ‘meratah’  tuan rumah Indonesia 16-0 hari ini.

Dengan itu, tiga lagi pasukan dalam kelompok ‘Super 4’ layak secara automatik ke Piala Dunia itu.

Kemenangan besar itu menyaksikan India menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan mengumpul empat mata, di belakang pendahulu Jepun yang mengutip sembilan mata.

Hanya dua pasukan terbaik dari dua kumpulan dalam Piala Asia 2022 layak ke kelompok ‘Super 4’ yang menggunakan format liga sepusingan bermula Sabtu ini.

Terdahulu, Malaysia layak ke ‘Super 4’ selaku juara Kumpulan B selepas melakar rekod cemerlang menang tiga perlawanan berturut-turut dengan membelasah Oman 7-0 pada Isnin lepas, diikuti kemenangan ke atas Korea Selatan 5-4 sehari kemudian selain kemenangan besar 8-1 ke atas Bangladesh hari ini.

Korea Selatan yang muncul naib juara Kumpulan B turut menyertai Malaysia, Jepun dan India ke kelompok ‘Super 4’.

Pasukan kendalian A. Arul Selvaraj bakal memulakan cabaran ‘Super 4’ menentang Korea Selatan Sabtu ini diikuti India (29 Mei) dan Jepun (31 Mei) manakala final berlangsung pada 1 Jun.

Dua pasukan terbaik dalam ‘Super 4’ akan berentap merebut trofi Piala Asia 2022.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Dunia adalah pada edisi 2018 di India yang menyaksikan mereka menduduki tempat ke-15.

Pencapaian terbaik pasukan negara adalah pada edisi 1975 ketika menjadi hos kejohanan itu dengan mereka muncul sebagai pasukan keempat terbaik.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular