Berita

SPM: 93 Pelajar Orang Asli Peroleh Keputusan Cemerlang

81views

KUALA LUMPUR, 12 Jun  — Seramai 93 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan dua daripadanya, berjaya meraih keputusan 9A.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelajar yang memperoleh keputusan 9A itu iaitu Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah.

Selain itu, katanya lapan pelajar mencatat keputusan cemerlang 8A, 10 pelajar memperoleh (7A), lapan  pelajar (6A), 31 pelajar memperoleh (5A), manakala 34 pelajar meraih keputusan 4A.

“Umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara dilanda dengan penularan pandemik COVID-19.

“Penularan pandemik ini telah menjejaskan persiapan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020, namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh pelajar Orang Asli tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan pelajar tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang berganding bahu dalam menyediakan pelbagai bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar Orang Asli  bersaing dengan masyarakat lain.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan pelajar Orang Asli melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan, pakaian serta bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib melalui pendidikan.

“KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

— BERNAMA

Source link