Berita

SPM: Cikgu Ambil Inisiatif Telefon Murid Tidak Dapat Sertai PdPR

77views

KUCHING, 13 Jun — Bagi memastikan anak muridnya tidak tercicir daripada sesi pembelajaran, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh di Betong, kira-kira 200 km dari sini, sanggup menelefon setiap anak muridnya yang tidak dapat menyertai program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Sharifah Khairunnizza Wan Masbahuddin, 29, guru Pendidikan Islam mengakui bahawa tidak semua anak muridnya dapat menyertai PdPR secara dalam talian kerana berdepan kekangan akses internet, tambahan pula kedudukan sekolahnya jauh di kawasan luar bandar.

“Antara inisiatif yang saya ambil untuk memastikan mereka masih boleh mengikuti sesi pembelajaran adalah dengan berkomunikasi menerusi panggilan telefon…saya akan telefon mereka sehingga mereka jawab. Kalau tidak berjawab, saya akan telefon ibu bapa mereka juga,” katanya kepada Bernama.

Sharifah Khairunnizza berkata panggilan yang dibuat kepada anak muridnya itu adalah untuk menerangkan mengenai subjek yang diajarkannya selain beliau turut memberikan soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk menguji keupayaan mereka ketika menjawab soalan.

“Dari situ saya dapat mengetahui tahap pemahaman anak-anak murid dan selain telefon, mereka juga akan berhubung dengan saya menerusi aplikasi WhatsApp untuk bertanyakan apa-apa soalan yang mereka tidak faham,” katanya yang sudah berkhidmat selama tiga tahun di sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Sharifah Khairunnizza berkata cabaran utama semasa mengendalikan PdPR dalam talian adalah kehadiran para pelajar yang kurang memuaskan kerana mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses internet namun semuanya berubah sejak April lepas apabila kerajaan Sarawak telah membangunkan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) di kawasan pedalaman.

Inisiatif SRBN memberikan keutamaan dalam jaringan jalur lebar ke kawasan pedalaman khasnya di klinik-klinik desa, sekolah, hospital dan dewan masyarakat dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta.

Selain membuat panggilan telefon, katanya guru-guru di sekolahnya juga menyediakan modul bertulis bagi setiap mata pelajaran untuk kegunaan para pelajar dengan mereka hanya perlu mengambilnya di pondok pengawal sekolah.

Mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, Sharifah Khairunnizza berkata beliau amat teruja kerana sekolahnya menjadi sekolah terbaik di Bahagian Betong dengan kadar lulus subjek Pendidikan Islam turut mencatatkan peningkat berbanding 2019.

“Saya rasa sangat berbaloi dengan pengorbanan yang telah saya lakukan. Kadang-kadang rasa sedih juga melihat nasib para pelajar yang terpaksa melalui detik-detik sukar ini, bagaimanapun saya tumpang gembira dengan pencapaian mereka,” katanya.

Sementara itu, Siti Muslihah Sudin, 31, guru Pendidikan Islam di SMK Engkilili di Sri Aman, berkata wabak COVID-19 memerlukan guru menggunakan kemudahan teknologi yang ada bagi memudahkan proses pembelajaran.

Mengambil contoh mengenai bacaan hafazan al-Quran, Siti berkata beliau meminta pelajarnya untuk menggunakan kemudahan ‘voice message’ di dalam aplikasi WhatsApp bagi tujuan membetulkan bacaan.

“Saya minta pelajar hantar ‘voice message’ semasa mereka membaca ayat hafazan dan saya akan baca semula ayat yang betul dan maklum di mana kesalahan bacaan. Melalui cara ini, ia tidak memerlukan data internet yang besar kerana kita pun faham pelajar juga ada kekangan dari segi akses internet,” katanya.

— BERNAMA

Source link