Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSPRM tahan dua pembantu kesihatan disyaki rasuah dalam pengurusan jenazah

SPRM tahan dua pembantu kesihatan disyaki rasuah dalam pengurusan jenazah

SHAH ALAM, 26 Mei (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan dua pembantu kesihatan sebuah hospital di negeri itu kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM15,000 setiap seorang bagi kerja-kerja berkaitan pengurusan jenazah.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan pada 4.45 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular