info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Struktur Tiang Jambatan Batu Kawan Runtuh

37views

BATU KAWAN, 17 Nov — Jambatan Batu Kawan yang menghubungkan Batu Kawan ke Bandar Cassia merentasi Sungai Jejawi sepanjang 211 meter, telah mengalami runtuhan di bahagian struktur tiang kedua semalam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), akan memulakan siasatan susulan kejadian tersebut.

Menurutnya PDC akan melantik perunding bebas bagi membantu siasatan dan meneliti punca kejadian runtuhan berkenaan dengan kadar segera.

“Buat masa ini, kita dapati sebahagian struktur tiang kedua daripada empat tiang jambatan Batu Kawan telah bergerak sebanyak lima ke enam meter dari tempat asal, dan telah runtuh memasuki Sungai Jejawi.

“Kejadian tersebut boleh dikatakan kegagalan struktur (pada tiang kedua Jambatan Batu Kawan) dan puncanya akan dikaji oleh perunding bagi projek ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak Projek Jambatan Batu Kawan di sini hari ini.

Beliau berkata, PDC juga akan mencadangkan kepada pihak perunding yang dilantik itu untuk menjalankan kerja mitigasi, pemuliharaan dan pembinaan semula tiang kedua tersebut, demi keselamatan semua pihak terlibat.

“Oleh itu, kita perlu beri sedikit masa kepada perunding menyelesaikan siasatan dan mengkaji punca kejadian ini,” katanya.

Menurut Chow, PDC turut mengakui siasatan akan mengambil masa berikutan ia melibatkan struktur binaan yang agak rumit, seperti cerucuk yang berada di dalam sungai.

“Mengikut kontraktor, bahagian binaan di dalam sungai adalah bahagian paling rumit dalam projek ini sebab lokasinya di dalam sungai. Jadi, kita akan tunggu laporan penuh,” katanya.

Projek pelebaran jalan daripada dua lorong kepada enam lorong milik PDC di Jambatan Batu Kawan itu mula dilaksanakan pada 2017 dan dijangka siap tahun depan dengan kos sebanyak RM33.5 juta.

— BERNAMA

Source link