Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaSukan SEA : Atlet judo yakin hadiahkan pingat buat Malaysia

Sukan SEA : Atlet judo yakin hadiahkan pingat buat Malaysia

MELAKA, 8 Mei (Bernama) — Atlet judo kebangsaan Ong Kun Xiong dan Tan Woon Kiat yakin mampu melakar kejutan di Sukan SEA ke-31 di Vietnam, walaupun tanpa menjalani latihan pusat dan menyertai sebarang kejohanan besar sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Bakal berentap dalam acara Goshin-Jutsu Kata, kedua atlet berusia 31 dan 34 tahun itu menjelaskan, mereka hanya dapat berlatih pada waktu malam atau hari cuti, memandangkan terikat dengan pekerjaan hakiki sebagai jurutera kilang di Melaka.

“Bagaimanapun kita sentiasa mendapat sokongan terutama dari jurulatih terkemuka Lee Khim Seng, dalam memberi tunjuk ajar menghadapi pertandingan tersebut, memandangkan acara Kata yang baru dipertandingkan.

“Dalam masa yang sama, kami sering merujuk pada video dan youtube bagi mematikan tidak terlepas sebarang markah penting dan tidak melakukan kesilapan ketika bertanding,” kata Ong ketika di temui pemberita di pusat latihan Persatuan Judo Melaka di sini hari ini.

Biarpun Kata yang dipertandingkan adalah baharu dan positif dalam usaha mereka untuk meraih pingat, gandingan tersebut bagaimanapun enggan memandang rendah kepada peserta negara lain, terutama atlet tuan rumah iaitu Vietnam.

“Vietnam kami anggap pencabar utama, dan sebab itu kami akan buat yang terbaik bagi memastikan pingat acara ini dapat dibawa pulang. Kami mahu tebus kekecewaan semasa Sukan Sea Filipina dahulu, apabila judo negara pulang hampa tanpa pingat,” katanya yang bakal berlepas ke Vietnam pada 16 Mei ini.

Sementara itu, Lee agak positif dengan kerja keras kedua-dua atlet tersebut dan berdasarkan kepada pengalamannya dalam acara tersebut akan memastikan pingat emas acara kata pada temasya dwitahunan itu akan menjadi milik Malaysia.

Walaupun hanya satu pingat disasarkan, Lee menjelaskan ia mencukupi untuk meningkatkan semangat kedua-dua atlet yang akan bertanding.

“Mereka tidak sertai latihan pusat di Bukit Jalil kerana jurulatih kebangsaan adalah untuk Judo Sheng-Hai. Untuk Kata mereka tidak berapa biasa dan hanya saya sahaja yang boleh mengajar mereka. Lagipun mereka berkerja di Melaka dan tidak dapat mengambil cuti,” katanya.

Mengakui Vietnam sebagai pencabar terdekat, Lee menjelaskan bahawa bukan sahaja kerana negara itu menjadi tuan rumah, namun jurulatih mereka adalah pemegang Kata Asia dan atlet mereka sering berlatih di Jepun.

“Namun saya percaya alet kami boleh menyerlah di Sukan SEA dan bawa pulang pingat,” katanya.

— BERNAMA

Bernama

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular