Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaSukan SEA: Jaringan saat akhir Muhammad Nur Azfar, julang Malaysia atasi Thailand

Sukan SEA: Jaringan saat akhir Muhammad Nur Azfar, julang Malaysia atasi Thailand

NAM DINH, 7 Mei (Bernama) — Jaringan saat akhir pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, memastikan Malaysia membuka kempen saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dengan bergaya selepas menewaskan Thailand 2-1, pada perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Thien Truong  di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berjaya melunaskan dendam kekalahan di pentas final edisi 2017 di Kuala Lumpur, yang juga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di temasya sukan dwitahunan itu.

Beraksi di hadapan hampir 30 ribu penonton, Thailand di bawah bimbingan Alexandre Polking menguasai perlawanan di separuh masa pertama dengan corak permaian agresif dan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan menerusi percubaan Ekanit Panya pada minit ke-10.

Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Azri Ab Ghani bertindak cemerlang menerbangkan badan untuk menampan bola rembatan Panya itu, sebelum Thailand sekali lagi mengancam kubu pertahanan negara hasil sepakan percuma Chayapipat Supanpasuch yang sedikit tersasar pada minit ke-19.

Malaysia yang sesekali melakukan serangan balas, mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-25, namun percubaan Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal tinggi melewati palang gol.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular