Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSukan SEA: Tabah-NSEA terima insentif lebih RM5,000

Sukan SEA: Tabah-NSEA terima insentif lebih RM5,000

SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) — Pasukan PUBG Mobile, Tabah-NSEA menerima insentif lebih RM5,000 atas kejayaan pasukan itu meraih pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata Pusat Pembangunan Belia Harapan (TABAH) memberikan insentif RM5,000 manakala Majlis Sukan Negeri (MSN) akan menyerahkan RM2,000 atas kejayaan pasukan.

“Pasukan ini merupakan satu-satunya pasukan PUBG Malaysia yang ditaja kerajaan negeri. Pasukan juga akan menerima insentif daripada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tanda penghargaan atas jasa pasukan ini mengharumkan nama negara,” katanya kepada pemberita pada majlis meraikan pasukan Tabah-NSEA di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, Persiaran Forest Height di sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang hadir pada majlis itu turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang pertama kali mewakili negara di Sukan SEA.

Pasukan tersebut dianggotai oleh Mohamad Amizul Hafiz Mohd Fadzli, 22, Muhammad Irfan Jafni Mohamad, 21, Muhammad Farish Husaini Zailani, 19, Muhammad Faiz Aiman Baharuddin Abdullah, 21, Mohd Farizal Khairuddin, 28, (Pengurus Pasukan) dan Muhammad Aduka Ikmal, 26, (jurulatih pasukan).

Dalam pada itu, Mohamad Amizul Hafiz berkata pasukannya menerima saingan sengit daripada pasukan Thailand, Indonesia dan Vietnam namun berhasil memenangi tempat ketiga daripada 17 pasukan bertanding.

“Walaupun sasaran kami adalah pingat emas, kami tetap berbangga dengan pencapaian pingat gangsa untuk negara ini, saya percaya pasukan kami mampu meraih pencapaian lebih baik pada masa akan datang,” katanya dan menambah pasukan itu akan berehat selama dua hingga tiga minggu sebelum menyertai Perlawanan PUBG Mobile Pro Lead Season 6 (PMPL S6) pada hujung Julai ini.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular