info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Sunquick Raih RM127,866 Bagi ‘OrphanCare Foundation’

75views

BUTTERWORTH, 10 Okt — Sunquick, antara jenama utama Barkath Group, meraih RM127,866 dalam kempen pengumpulan dana untuk OrphanCare Foundation.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer berkata kempen pengumpulan dana itu turut diadakan bersempena ulang tahun ke-80 kumpulan itu.

“Kempen pengumpulan dana itu telah dilancarkan pada Ramadan tahun ini, iaitu dengan setiap pembelian konsentrat Sunquick, sebahagian jualan akan disumbangkan kepada yayasan tersebut.

“Ini juga antara sumbangan sekali sahaja yang terbesar diterima oleh OrphanCare Foundation,” katanya pada sidang media selepas ‘sambutan mega’ kumpulan itu semalam.

Selain daripada majlis penyerahan sumbangan itu, sambutan mega tersebut turut termasuk pelancaran potongan kek buah Barkath’s Bakery, selain majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Barkath Group dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang berpangkalan di Kedah.

Barkath Ali berkata MoU itu mengiktiraf usaha kerjasama untuk bertukar-tukar pengetahuan antara kedua-dua pihak.

“Di bawah MoU itu, kami akan menerima pelajar UniSHAMS untuk menyertai program latihan kami dan pada masa sama, menghantar kakitangan kami ke institusi untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Barkath Ali untuk Barkath Group manakala UniSHAMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan, Korporat & Jaringan Industri) Mohd Zaini Ramli.

Ia disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh.

Source link