BeritaRencana

Suri Rumah Jana RM1,000 Sehari Jual Lemang Periuk Kera

174views

KANGAR, 11 Mei  — Siapa sangka dengan mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penjawat awam pada 2012 untuk menumpukan perhatian penuh kepada keluarga, seorang suri rumah berjaya meraih pendapatan sebanyak RM1,000 sehari dengan mengusahakan lemang periuk kera.

Menurut pengusahanya, Nazatul Azrin Othman, 41, biarpun menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah sejak enam tahun lepas, beliau tidak menang tangan menerima tempahan sejak awal Ramadan.

“Saya jual lemang periuk kera dengan harga RM30 untuk sekilogram dan berjaya siapkan 30 hingga 40 kilogram (kg) bersamaan 600 ke 640 unit sehari.

“Dalam masa dua minggu awal Ramadan saya berjaya jual hampir satu tan lemang periuk kera yang dijual secara ‘cash on delivery’ (COD),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Paduka di sini baru-baru  ini.

Nazatul Azrin berkata lemang periuk kera menjadi tarikan baharu di negeri ini kerana ia sukar diperoleh berbanding ketupat palas dan lemang buluh.

Ibu kepada seorang anak itu berkata apa yang membimbangkan beliau ialah jumlah kelongsong periuk kera yang agak terhad dan bekalannya yang didapati daripada Orang Asli di Pahang agak sukar apabila perkhidmatan kurier tergendala akibat kesesakan trafik menjelang Aidilfitri, namun beliau cuba memenuhi permintaan pelanggan kerana tidak mahu menghampakan mereka yang sedih tidak dapat pulang beraya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata sebelum PKP pertama mula diisytiharkan tahun lepas, beliau membekalkan sendiri kira-kira satu tan lemang periuk kera segar ke beberapa kawasan terdekat di utara antaranya Langkawi, Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang sekali gus membantu suami menjana ekonomi keluarga.

Bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Kuala Lumpur itu berkata idea asal untuk mengusahakan lemang periuk kera tercetus apabila beliau melawat saudaranya di Pahang pada 2014.

Katanya, proses membersihkan dua guni kelongsong periuk kera sahaja mengambil masa lebih 24 jam dan ini tidak termasuk masa untuk memasak pulut untuk dijadikan lemang iaitu selama 45 minit.

Beliau berkata kelongsong periuk kera perlu dibersihkan secara teliti dengan membuang miang dan durinya, diberus dengan berus mini khas dan dibasuh bersih menggunakan air mengalir bagi menghasilkan lemang periuk kera yang selamat untuk dimakan,” katanya.

— BERNAMA

Source link