info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Suspek Macau Scam Yang Lari, Di Tahan Di Bawah POCA

44views

KUALA LUMPUR, 30 Okt  — Seorang lelaki yang menjadi tumpuan ramai kerana melarikan diri daripada ditahan polis selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, 11 Okt lepas, kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian sebelum ini, disiasat di bawah  Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Hari ini kami tahan suspek di bawah POCA dan permohonan reman POCA suspek akan dimohon esok di Mahkamah Kuala Lumpur bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Nik Ros Azhan berkata pihaknya akan memohon suspek direman di bawah POCA selama 21 hari.

Sebelum ini, suspek direman selama tiga hari dan reman suspek telah berakhir semalam.

Pada 13 Okt lepas, SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan semula selepas dibebaskan SPRM.

Berikutan itu, pada 16 Okt lepas, polis mendedahkan butiran suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan tiga kes melibatkan penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Suspek juga dikatakan menjadi koordinator kepada aktiviti Macau Scam di negara China.

Pada 27 Okt, Bernama melaporkan polis telah menahan lelaki itu di sebuah hotel peranginan di luar Lembah Klang.

Source link