Berita

Suu Kyi Ditahan, Myanmar Kembali Di Bawah Pemerintahan Tentera

167views

YANGON, 4 Feb — Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi didakwa secara rasmi semalam, selepas dua hari ditahan dalam rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Penahanan itu bermakna kerajaan demokrasi di negara itu tamat dan diambil alih semula oleh tentera, selepas Suu Kyi ditahan dalam serbuan pada awal pagi Isnin lalu.

Suu Kyi yang menang besar menerusi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam pilihan raya umum November tahun lalu, dilaporkan masih tidak muncul di khalayak selepas ditahan.

Pihak tentera turut mendakwa berlaku penipuan membabitkan undian dalam pilihan raya berkenaan.

Semalam, pegawai media NLD berkata, pemimpin berusia 75 tahun itu itu didakwa atas kesalahan mengikut undang-undang import dan eksport Myanmar dengan mahkamah mengarahkan reman selama dua minggu.

Kediaman Suu Kyi turut digeledah selepas penahanannya dengan penemuan walkie talkie, menurut satu dokumen pendakwaan pihak polis yang didedahkan oleh wartawan.

Dalam perkembangan berkaitan, doktor dan kakitangan perubatan di pelbagai hospital di seluruh Myanmar semalam, mengumumkan mereka menentang rampasan kuasa oleh tentera dengan mengenakan reben merah dan melakukan protes dengan tidak menjalankan sebarang kerja bukan kecemasan.

“Misi utama kami hanya menerima kerajaan yang sudah dipilih,” kata ketua kakitangan hospital di daerah Gangaw, Aung San Min.

Untuk rekod, pilihan raya umum di Myanmar, pada November tahun lalu ialah pusingan kedua pemilihan demokratik, sejak negara berkenaan berupaya menamatkan episod pemerintahan tentera junta selama 49 tahun.

Berdasarkan rekod, NLD memenangi lebih 80 peratus daripada keseluruhan undi, sekali gus menyaksikan peningkatan sokongan dalam kalangan pengundi, berbanding 2015. – AFP

Source Link