Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSyahmi Safari terlepas aksi menentang Hong Kong

Syahmi Safari terlepas aksi menentang Hong Kong

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Pemain pertahanan kiri Harimau Malaya Muhammad Syahmi Safari hari ini dilepaskan daripada kem latihan pusat skuad kebangsaan sekali gus tidak akan beraksi menentang Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Kim Pan Gon berkata keputusan itu dibuat disebabkan masalah sinus Muhammad Syahmi disahkan semakin teruk selepas beliau menjalani ujian perubatan pagi tadi.

Pan Gon berkata atas nasihat doktor pakar, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu perlu menjalani rawatan susulan dengan segera.

“Kami barisan kejurulatihan dan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan serta  keselamatan pemain, bersetuju melepaskan Muhammad Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

Dengan ketiadaan Muhammad Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Hong Kong malam esok dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) malam ini.

Terdahulu, JDT dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Syahmi akan dimasukkan ke hospital esok sebagai persiapan menjalani pembedahan yang dijadual Khamis ini.

Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada pemain itu sempat kembali cergas untuk menyertai semula pasukan bagi menghadapi tiga perlawanan dalam saingan Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 bermula minggu depan.

Muhammad Syahmi diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan ketika menewaskan Brunei 4-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Jumaat lepas.

— BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular