Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaSyarikat Malaysia dipelawa hadiri pameran perdagangan untuk industri proses di Frankfurt

Syarikat Malaysia dipelawa hadiri pameran perdagangan untuk industri proses di Frankfurt

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — DECHEMA Exhibitions, penganjur ACHEMA 2022, pameran perdagangan terkemuka dunia untuk industri proses, mempelawa syarikat Malaysia untuk menghadiri forum pada tahun ini di Frankfurt, Jerman.

Selepas beberapa bulan pertemuan secara maya, pemain utama dalam industri proses global akan berhimpun di ACHEMA 2022 di Frankfurt am Main, Jerman dari 22 hingga 26 Ogos.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pembangunan Perniagaan dan Jualan DECHEMA Exhibitions Andreas Konert berkata ACHEMA 2022 adalah mengenai inspirasi hubungan yang mampan dalam industri proses dan sains hayat.

“Sebagai satu-satunya pameran yang komprehensif untuk trend teknologi terkini dalam industri kimia di dunia, datang dan sertai kami untuk kemas kini inovasi yang telah lama tertangguh, rangkaian industri merentas global dan pameran teknologi yang belum dilihat,” katanya.

Menurut DECHEMA, sumber asli Malaysia yang banyak, selain kedudukan Jerman sebagai peneraju dunia dalam pembangunan teknologi baharu, memberikan peluang pelaburan yang berharga kepada syarikat kimia Malaysia, sekali gus meningkatkan lagi hubungan perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara.

Forum dunia untuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan proses dan bioteknologi berlangsung setiap tiga tahun.

Katanya lebih 2,000 peserta pameran terdiri daripada pengilang, pengguna, pemaju dan saintis akan membentangkan pelbagai perkembangan baharu, produk yang inovatif dan penyelesaian sistem pada tahun ini, dalam sektor kimia, farmaseutikal, bioteknologi, makanan serta tenaga dan utiliti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chemical Council Industries of Malaysia (CICM) Datuk Muhtar Hashim berkata pertumbuhan semasa sektor kimia di Malaysia amat baik.

“Eksport bahan kimia dan produk berkaitan kimia pada 2021 mencatatkan RM70.68 bilion, menunjukkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 39.3 peratus berbanding 2020.

“Oleh itu, terdapat peluang untuk pemain utama melabur di Malaysia dan ACHEMA merupakan platform yang baik untuk perniagaan Malaysia berhubung dengan peneraju dalam industri proses dan melihat secara langsung mengenai kemas kini inovasi sektor itu,” katanya.

Menurut penganjur, ACHEMA 2022 akan dibuka dengan sesi mengenai peralihan tenaga industri kimia berikutan Eropah menyasarkan untuk menjadi iklim neutral menjelang 2050 dan terdapat Zon Inovasi Hijau yang menekankan pengeluaran iklim neutral, ekonomi kitaran, air industri, kimia mampan dan ekonomi berasaskan bio.

Pengunjung juga boleh menjangka kemas kini inovasi farmasi yang komprehensif berikutan vaksin telah menjadi sebahagian daripada normal baharu semasa COVID-19, katanya.

Pameran ACHEMA sebelum ini pada 2018 menyaksikan seramai 3,800 peserta pameran dari lebih 50 negara membentangkan inovasi mereka kepada kira-kira 145,000 profesional di seluruh dunia.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai ACHEMA, layari www.achema.de

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular