
Tahniah Malaysia, Azalina Othman!
Umno Bahagian Batu Kawan rakam tahniah Malaysia menang kes ketepi perintah penahanan waris Sultan Sulu
BUKIT TENGAH, 27 Jan. – Penerangan Umno Bahagian Batu Kawan merakamkan penghargaan atas kemenangan Kerajaan Malaysia terhadap individu-individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.

Ketua Penerangannya, Yahaya Othman turut merakamkan penghargaan khusus kepada ‘Mak Angkat’ Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Azalina Othman Said atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang membuat pemakluman mengenai kemenangan negara, semalam.
Menurut sumber, Azalina dilaporkan berkata perintah penahanan itu dipohon oleh ‘penuntut’ berkenaan pada 11 Julai tahun lalu.
“Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu seperti telah dirancang oleh penuntut.
“Selain itu, Malaysia telah serta-merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya perintah penahanan tersebut diketepikan.
Pendengaran bagi permohonan itu telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya mengetepikan perintah penahanan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Untuk rekod, semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada pertengahan bulan Januari baru-baru ini, Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Azalina sebagai ‘Mak Angkat’.
Semasa menyampaikan ucaptama Presiden, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri I Malaysia berkata pelantikan Azalina demi membantu Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), dijangka pada bulan Jun 2023.
~ Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang