info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tangani Segera Masalah Dihadapi Pekerja Kesihatan Swasta di SJR

94views

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyeru tindakan segera diambil terhadap kesusahan yang dihadapi sesetengah petugas kesihatan swasta yang tidak dianggap sebagai petugas perkhidmatan penting oleh pasukan keselamatan yang mengawal sekatan jalan raya (SJR) dan stesen pengangkutan awam, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Datuk Dr. Kuljit Singh berkata pada masa ini, hospital swasta terlibat secara aktif menguruskan pandemik tersebut bermula daripada melakukan ujian saringan secara jumpa terus, merawat pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menguruskan pusat vaksinasi.

Oleh itu, katanya sebarang kelewatan di sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan keselamatan boleh memberi kesan buruk di hospital swasta.

“Kami amat mememahami bahawa ada kemungkinan individu yang cuba menyamar sebagai pekerja kesihatan untuk melepasi sekatan jalan raya, tetapi semua petugas kesihatan swasta telah diberikan surat dari jabatan sumber manusia hospital atau CEO bersertakan kad pengenalan bergambar dan nombor untuk dihubungi sebagai pengesahan.

“Kami bersedia mengadakan sesi dialog dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai perkara ini dan kami telah mengutus surat mengenai perkara ini, awal hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hospital swasta dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan tidak memerlukan syarat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Justeru, kakitangan bukan klinikal, selain doktor, jururawat dan ahli farmasi, di hospital perlu berada di tempat kerja secara fizikal yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan hospital.

“Kami berharap agar perunding perubatan kami diberikan layanan serupa sebagaimana rakan sejawat mereka di Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggunakan laluan khas semasa melalui sekatan jalan,” katanya menambah APHM juga bertungkus-lumuh bersama-sama kerajaan dalam mengekang penularan pandemik.

“Kami berharap agar diberikan sedikit kelonggaran agar staf kami dapat memberikan sumbangan secara optimum,” katanya.– BERNAMA

Source link