info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Perniagaan

Tarikh Tutup Permohonan GKP 2.0 31 Oktober Ini

83views

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Permohonan bagi inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 akan ditutup pada 31 Oktober ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan terbuka buat semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020, dan belum pernah menerima GKP sebelum ini.

“PKS mikro yang layak bakal menerima bantuan sekaligus berjumlah RM3,000 untuk membantu mereka dalam tempoh yang sukar ini dengan bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

“Kepada semua PKS mikro yang layak, segeralah membuat permohonan GKP ini sebelum berakhirnya tempoh permohonan pada hujung bulan ini,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-27 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuka semula permohonan untuk PKS mikro melalui GKP 2.0, khusus bagi usahawan yang tidak berpeluang mendapat bantuan melalui inisiatif GKP sebelum ini.

Inisiatif GKP 2.0 dijangka dapat memanfaatkan lebih 200,000 peniaga dengan membabitkan peruntukan hampir RM600 juta.

Di bawah pakej Prihatin PKS Tambahan yang diumumkan April lalu, kerajaan menyediakan GKP khusus untuk membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan wabak Covid-19.

Permohonan untuk GKP yang dibuka pada 1 Mei hingga 15 Mei lalu dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 setiap peniaga mikro memanfaatkan 545,000 peniaga kecil seluruh negara dengan jumlah bantuan RM1.63 bilion.

Source link