Berita

Tawaran Haji: Berurusan Hanya Dengan Individu, Syarikat Berdaftar

90views

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Orang ramai dinasihatkan agar berurusan hanya dengan individu dan syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkaitan haji, terutama perkhidmatan badal haji memandangkan risiko kegiatan penipuan semasa tempoh pandemik COVID-19.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)  Mohd Azri  Abd Razak berkata sebarang pertanyaan mengenai ibadat itu termasuk pakej yang berkaitan juga hanya perlu dikemukakan kepada syarikat pelancongan berdaftar yang mempunyai lesen Umrah serta secara terus dengan panel Tabung Haji.

“Bayaran untuk pakej haji dan badal haji mestilah pada harga yang berpatutan dan sesuai dengan keadaan semasa dengan mengambil kira pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) turut menasihati orang ramai berhubung perkara yang sama dan memaklumkan bahawa tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 seorang juga adalah tidak munasabah memandangkan kos permit dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi adalah jauh lebih tinggi.

Sehingga kini, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji bagi tahun ini.

— BERNAMA

Source link