Berita

Teknologi Sistem Robotik Dicadang Dalam Program NTIS Di Felda Mempaga

83views

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Sistem robotik di tapak semaian sawit dan di ladang sawit merupakan antara teknologi yang dicadangkan untuk program National Technology Innovation Sandbox (NTIS) di Felda Mempaga, Pahang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata teknologi lain yang dicadangkan adalah robot penyemburan racun dan baja di ladang fertigasi serta penggunaan dron dan analisis data raya untuk pengoptimuman ladang sawit.

“Pihak Felda sedang meneliti kesesuaian teknologi cadangan untuk ujian lapangan di Felda Mempaga sebelum penggunaan secara besar-besaran di tanah rancangan yang lain, sekiranya ia berkesan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung peranan kementerian dalam membantu Felda dalam memastikan pelaksanaan pertanian pintar di agensi itu.

Felda Mempaga telah dikenal pasti sebagai lokasi dalam menjalankan inisiatif pertanian pintar di kawasan Felda.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata melalui inisiatif NTIS, beberapa aplikasi dan teknologi ditawarkan sebagai startups (permulaan) dan penyelidikan yang disasarkan untuk meningkatkan produktiviti aktiviti peneroka Felda sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata sebanyak lima startups telah dikenal pasti membawa pelbagai aplikasi dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan peneroka Felda, antaranya dron, robotik, mesin kecerdasan buatan dan teknologi rawatan air.

“Kesemua startups ini telah dicadangkan kepada pengurusan Felda untuk dipilih berdasarkan kepada kesesuaian dan kesediaan infrastruktur Felda,” katanya.

— BERNAMA

Source link