info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Tenaga Kerja Positif COVID-19 : Top Glove Tutup Sementara Secara Berperingkat

89views

KUALA LUMPUR, 23 Nov  — Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melaksanakan penutupan sementara secara berperingkat kilangnya di Meru, Klang, susulan peningkatan drastik kes positif COVID-19 dalam kalangan tenaga kerja di kilang berkenaan.

Top Glove dalam kenyataan hari ini berkata sejak 18 Nov lepas sehingga kini, pihaknya telah menghentikan sementara pengeluaran di 16 kilangnya di Meru, Klang, manakala baki 12 lagi kilangnya telah beroperasi dengan kapasiti yang dikurangkan.

“Dengan bimbingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami telah selesai melaksanakan proses saringan penuh kira-kira 5,700 pekerja di asrama mereka.

“Kami komited untuk meneruskan ujian saringan COVID-19 sebagaimana yang disyorkan KKM keatas baki pekerja dan petugas di kilang-kilang kami di Meru, Klang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan para pekerja serta komuniti tempatan adalah keutamaan tertinggi pihaknya dalam mengawal keadaan, dan melandaikan lengkung COVID-19.

Sehubungan itu Top Glove juga akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan ketat.

“Langkah disinfeksi di premis serta kemudahan penginapan kami juga akan dijalankan dengan kerap, dengan pelaksanaan semua langkah pencegahan yang perlu,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang Top Glove di Klang akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan para pekerjanya menjalani saringan dan kuarantin.

Beliau berkata pelaksanaan arahan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Majlis Keselamatan Selangor, dengan kerjasama pengurusan syarikat.

Source link