Berita

Tentera Myanmar Berdepan Tekanan PBB

97views

YANGON, 13 Feb — Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam menuntut tentera Myanmar mengembalikan semula undang-undang awam dan membebaskan Aung San Suu Kyi.

Tuntutan itu senada dengan suara ratusan ribu penunjuk perasaan yang terus membanjiri bandar di seluruh negara berkenaan bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar.

Pada satu sesi khas diadakan atas permintaan Britain dan Kesatuan Eropah, Majlis Hak Asasi Manusia meluluskan resolusi mendesak pembebasan semua individu yang ‘ditahan sewenang-wenangnya’, manakala ‘kerajaan dipilih rakyat pula dikembali serta dipulihkan semula’.

“Dunia sedang memerhati,” kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Nada al-Nashif, pada permulaan sesi itu.

Al-Nashif memaklumkan bahawa selain Suu Kyi dan Presiden Myanmar, Win Myint, lebih 350 individu lagi telah ditahan sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, termasuk aktivis, wartawan, pelajar serta sami.

“Malah, perintah sangat keras telah dikeluarkan minggu ini untuk menghalang perhimpunan awam dan kebebasan bersuara,” katanya.

Beliau turut mengecam tindakan semberono membabitkan penggunaan senjata yang boleh membawa maut mahupun kurang mengakibatkan kematian.

Bagaimanapun sekutu tradisional kepada tentera Myanmar, termasuk Russia dan China, mengkritik sesi kecemasan itu yang disifatkan sebagai mencampuri ‘hal ehwal dalaman Myanmar’.

Dalam pada itu, pemimpin baharu daripada tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, mengarahkan kakitangan awam meliputi guru, birokrat dan pengawal trafik udara yang menyertai tunjuk perasaan terhadap junta, supaya kembali menjalankan tugas mereka.

Namun, ratusan ribu orang tetap mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara itu, semalam – hari ketujuh berturut-turut – bagi menuntut pihak tentera melepaskan kuasa.

Setakat ini, sebahagian besar demonstrasi berlangsung secara aman walaupun polis dilihat menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah ke atas penunjuk perasaan.

Begitupun, pihak berkuasa didakwa melepaskan peluru betul terhadap penunjuk perasaan di Naypyidaw, Selasa lalu, menyebabkan dua individu parah – termasuk seorang wanita ditembak di kepala.

Di Mawlamyine, pihak berkuasa dilapor menembak peluru getah terhadap pelajar ketika berusaha menyuraikan penunjuk perasaan, semalam.

Sebilangan penunjuk perasaan dimasukkan sebentar ke wad, manakala sembilan orang ditahan tetapi dibebaskan selepas orang ramai menyerbu balai polis serta menuntut mereka dilepaskan.

– AFP

Source Link