Berita

Terbitan Sri Sukuk Kelestarian ASEAN Sulung Cagamas Dapat Sambutan Menggalakkan

95views

KUALA LUMPUR, 22 Okt  — National Mortgage Corporation Cagamas Bhd menetapkan harga gabungan terbitan Sri Sukuk Kelestarian ASEAN sulungnya dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada RM450 juta.

Cagamas dalam satu kenyataan hari ini berkata, terbitan itu, yang dikendalikan menerusi proses penetapan harga awam oleh RHB Investment Bank, menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur dan mencapai jumlah pesanan hampir RM2 bilion pada panduan harga awal.

Terbitan itu yang terdiri daripada SRI Sukuk tiga tahun bernilai RM100 juta dan IMTN bernilai RM350 juta akan diterbitkan berasaskan kepada prinsip Islam Murabahah di bawah program IMTN RM60 bilion sedia ada syarikat.

“Hasil daripada SRI Sukuk akan digunakan untuk membiayai rumah mampu milik menerusi pembiayaan Islam. Hasil daripada IMTN akan digunakan untuk membiayai pembiayaan rumah Islam,” kata Cagamas.

Transaksi itu merupakan terbitan ke-17 syarikat itu bagi tahun ini dan menjadikan jumlah terbitan setakat ini adalah sebanyak RM6.68 bilion.

— BERNAMA

Source link