info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Terengganu Dijangka Alami Kemarau Serius Pada 2025 Dan Banjir Besar Pada 2030

29views

KUALA TERENGGANU, 18 Dis — Penduduk Terengganu tidak perlu panik dengan ramalan bahawa negeri itu akan dilanda kemarau dan banjir serius, dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Profesor Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamarudin sebaliknya berkata, semua pihak perlu mengamalkan penggunaan air secara berhemah, selain melakukan persediaan rapi termasuk pengurusan Empangan Tasik Kenyir, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).

Katanya, Terengganu mempunyai Empangan Kenyir yang merupakan antara empangan terbesar di Asia Tenggara dan ia memainkan peranan penting dalam pengurusan sumber air di Lembangan Sungai Terengganu.

“Sebelum pembinaan sesuatu empangan, pelbagai kajian seperti penilaian impak alam sekitar (EIA) telah dijalankan, termasuklah ramalan bagaimana impak dan peranan empangan dalam menangani isu kemarau atau banjir kepada kelestarian ekosistem.

“Kebiasannya, hasil daripada kajian itu akan memberi satu nilai yang ideal kepada pihak pengurusan empangan, bagi melepaskan air dalam pelbagai situasi termasuklah situasi kemarau bagi memastikan kelangsungan habitat di kawasan berisiko,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Baru-baru ini Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) mendedahkan, negeri itu akan mengalami musim kemarau serius antara 2025 dan 2030 akibat fenomena El Nino, dan diikuti banjir yang lebih kerap antara tahun 2030 dan 2035 selaras dengan kemunculan La Nina.

Ia merupakan hasil laporan penilaian yang dibuat oleh Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) dengan menggunakan kaedah data raya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Amri berkata SATU sebagai operator air di Terengganu juga perlu bersedia dengan perancangan rapi untuk menghadapi kemarau, walaupun setakat ini Terengganu mempunyai sumber air yang banyak.

“Pada 1 Dis lepas juga, kerajaan negeri telah menubuhkan LAUT bagi menguruskan sumber air di Terengganu dengan lebih cekap dan bersepadu, yang mana hampir semua badan berkenaan pengurusan air di Terengganu, berada di bawah seliaan LAUT.

“Ini adalah satu inisiatif yang baik, kerana pelbagai dasar dan garis panduan dalam menjaga sumber air di Terengganu dapat diuruskan dengan lebih baik, lestari dan bersepadu, termasuklah perancangan tindakan jangka panjang yang akan diambil, dalam menangani masalah kemarau yang akan dihadapi berdasarkan ramalan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi banjir besar pula beliau berkata, Empangan Kenyir telah terbukti sangat berkesan, dalam mengawal aliran air dalam banjir besar yang berlaku pada tahun 2014 di Terengganu.

“Pihak pengurusan empangan telah merendahkan aras air di dalam tasik bagi membuat persiapan awal dalam menerima air hujan yang tinggi pada awal musim tengkujuh dan hasilnya kawasan penempatan penduduk berhampiran Sungai Terengganu seperti daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan sebahagian Marang, tidak dilanda banjir pada waktu itu.

“Namun persediaan lebih rapi perlu dibuat, agar banjir akibat curahan hujan sangat lebat di daerah lain nanti dapat diminimakan pada waktu yang diramal, sekali gus mengurangkan kerugian,” katanya.

— BERNAMA

Source link