Berita

Terengganu Lulus Peruntukan Bantuan Tunai Pemilik Kereta Sewa

126views

KUALA TERENGGANU, 19 Apr — Kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM80,000 untuk bantuan tunai pemilik kereta sewa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman, terdapat 284 pemandu kereta sewa yang beroperasi di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan mendapati pemandu kereta sewa juga layak untuk menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM300 seorang melalui program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu.

“Golongan itu juga turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diumumkan kerajaan, berikutan penularan pandemik COVID-19, sejak Mac tahun lalu.

“Walaupun kerajaan sudah membenarkan rentas daerah, tetapi pemandu kereta sewa masih berdepan masalah untuk mendapatkan penumpang berikutan persaingan daripada kereta sapu dan kenderaan e-hailing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, bantuan sekali bayaran kepada pemandu kereta sewa berjumlah RM300 seorang itu tambahan kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, katanya, kerajaan mengagihkan bantuan sekali bayaran berjumlah keseluruhan berjumlah RM119,100 untuk membantu meringankan bebanan kepada penggiat industri pelancongan yang pendapatan terjejas susulan PKP.

“Bantuan sekali bayaran itu diberikan kepada 43 orang pemandu teksi airport berjumlah RM300, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12,900.

“Bantuan itu termasuk kepada 22 pengayuh beca roda tiga berjumlah RM400 membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8,800, pemandu bot penambang seramai 17 orang sebanyak RM400 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6,800,” katanya.

Ariffin berkata, turut menerima bantuan berjumlah RM300 seorang adalah 167 pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM50,100, malim gunung seramai 33 orang pula menerima RM300 membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM9,900 dan 102 pemandu pelancong yang menerima bantuan sebanyak RM300 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM30,600.

Source Link