Berita

Tertembak Rakan : Tiga Anggota Polis Direman Tujuh Hari

139views

SIBU, 7 Mei — Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap tiga anggota polis bagi membantu siasatan kejadian seorang konstabel yang mati tertembak di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9, Taman Permai, semalam.

Permohonan reman sehingga 14 Mei terhadap tiga anggota, masing-masing berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam semalam, Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemui dengan kesan tembakan di kepala dalam keadaan duduk di sofa di rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi, berkata penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

“Belum tahu lagi. Tunggu ‘swab test’ dan bedah siasat, tunggu patologis dari Kuching,” katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp.

Difahamkan, mangsa baru sebulan setengah bertugas di Sibu sebaik tamat latihan asas polis dan ada dakwaan kejadian itu dipercayai berlaku apabila seorang rakannya bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di rumah transit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu dikatakan datang ke rumah sewa rakannya itu untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Mangsa yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Sibu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun.

Source Link