info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Thailand mahu kaji keberkesanan kombinasi dua vaksin COVID-19  

76views

BANGKOK, 6 Jun — Thailand akan melakukan penyelidikan mengenai keberkesanan kombinasi dua jenis vaksin COVID-19 berikutan pemantauan awal di negara ini dan kajian di luar negara menunjukkan ia mampu meningkatkan lagi tahap ketahanan badan.

Ketua Pusat Kecemerlangan Virologi Klinikal Fakulti Perubatan, Universiti Chulalongkorn Dr. Yong Poovorawan berkata pusat itu sedang memantau empat kes penerima yang secara tidak sengaja diberikan dos pertama Sinovac dan dos kedua AstraZeneca, didapati tahap ketahanan badan adalah lebih kuat berbanding yang menerima dua dos Sinovac.

“Bagi kes kelima yang menerima dos pertama AstraZeneca dan dos kedua Sinovac, tahap ketahanan badan mereka lebih kuat daripada kadar purata, sebulan kemudian,” kata Dr Yong dalam Facebooknya hari ini.

Dr Yong berkata pusat itu sedang berusaha mendapatkan dana dari Pejabat Penyelidikan Thailand untuk membiayai penyelidikan berkenaan.

Katanya, jika cadangan itu diluluskan jawatankuasa pemantauan penyelidikan dan etika, kajian itu akan diteruskan ke atas manusia.

Bagaimanapun, katanya kombinasi dua vaksin COVID-19 untuk program vaksinasi negara tidak digalakkan kerana semua vaksin yang diluluskan ketika ini adalah berasaskan kebenaran khas kecemasan.

Menurut artikel jurnal sains Nature pada Mei, kajian yang dilakukan penyelidik di Sepanyol mendapati mereka yang disuntik dengan menggunakan gabungan vaksin Oxford – AstraZeneca dan Pfizer – BioNTech COVID-19 menghasilkan tindak balas imun lebih kuat terhadap virus SARS-CoV-2.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 2,617 kes baharu COVID-19 dan 23 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 177,467 dan korban seramai 1,236 orang setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kes baharu itu termasuk 2,588 penularan tempatan iaitu 889 melalui pengesanan kes aktif dan 604 jangkitan di penjara.

Katanya, sebanyak 89 kes import termasuk 76 warga Thailand yang kembali dari Kemboja yang masuk secara haram antara 28 Mei dan 3 Jun.

Katanya, kes kematian pula melibatkan 12 lelaki dan 11 wanita berusia antara 32 hingga 79 tahun termasuk 13 di Bangkok dan empat di Samut Prakan.

— BERNAMA

Source link