
Thailand: Rakyat terus berdoa semoga Puteri Bajrakitiyabha segera sembuh
BANGKOK, 16 Dis (Bernama) — Pelbagai lapisan masyarakat memenuhi pekarangan Hospital King Chulalongkorn Memorial untuk mendoakan puteri sulung Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Bajrakitiyabha yang kini sedang dirawat selepas tidak sedarkan diri akibat serangan jantung.
Puteri Bajrakitiyabha, 44, dimasukkan ke hospital pada Rabu petang.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, anggota Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin agama turut mengunjungi hospital berkenaan bagi memberi penghormatan dan meletakkan jambangan bunga serta menandatangani buku ucapan khas.
Sementara itu, Buddhist Supreme Patriarch Somdet Phra Ariyavangsagatayana mengarahkan semua kuil mengadakan sembahyang khas setiap hari untuk mendoakan kesembuhan Puteri Bajrakitiyabha.
Sheikhul Islam Thailand juga meminta umat Islam di negara itu turut berdoa agar Puteri Bajrakitiyabha segera sembuh.
Persidangan Bishop Katolik turut menggesa penganut Kristian untuk menghadiri upacara yang diadakan khas buat puteri raja itu.
Pada Khamis, Royal Household Bureau dalam satu kenyataan memaklumkan Puteri Bajrakitiyabha rebah pada Rabu ketika sedang melatih anjingnya menjelang acara Working Dog Championship anjuran Tentera Diraja Thailand di wilayah Nakhon Ratchasima.
Beliau menerima rawatan di Hospital Pak Chong Nana di wilayah Nakhon Ratchasima sebelum dibawa ke Hospital Chulalongkorn di Bangkok untuk rawatan lanjut.
Puteri Bajrakitiyabha ialah anak perempuan tunggal Raja Vajiralongkorn dengan isteri pertamanya, Puteri Soamsawali.
Beliau berkelulusan ijazah kedoktoran undang-undang dari Universiti Cornell dan pernah berkhidmat sebagai Duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia
— BERNAMA