AntarabangsaCOVID19

Thailand rancang kurangkan tempoh kuarantin

BANGKOK, 23 Sept — Thailand merancang mengurangkan kuarantin 14 hari di hotel kepada pelancong dan pengembara yang lengkap suntikan vaksin COVID-19 untuk membantu merancakkan semula ekonomi dan industri pelancongan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, jawatankuasa kawalan penyakit mencadangkan untuk mengurangkan tempoh kuarantin itu kepada tujuh hari tetapi wajib menjalani ujian RT-PCR sejurus ketibaan.

Katanya, pengunjung tanpa sijil vaksinasi yang tiba menggunakan perkhidmatan udara akan dikenakan kuarantin 10 hari sementara ketibaan menerusi pengangkutan darat perlu dikuarantin dua minggu.

“Langkah-langkah itu tertakluk kepada pelawat daripada semua negara. Tempoh kuarantin yang lebih singkat tidak akan memburukkan lagi keadaan (COVID-19) kerana projek Phuket Sandbox membuktikan pengunjung tidak menyebabkan wabak sebaliknya jangkitan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, jawatankuasa kawalan penyakit akan mengusulkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk mengurangkan kuarantin wajib 14 hari wajib pada minggu depan.

Thailand dalam usaha membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan kepada pengunjung lengkap divaksin mulai Oktober susulan kejayaan “Phuket Sandbox” dan “Samui Plus” yang dilancarkan Julai lalu.

Namun, rancangan membuka semula Bangkok pada 1 Oktober ditunda berikutan gagal memenuhi sasaran 70 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin.

Minggu lalu, Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata hanya 37 peratus penduduk di Bangkok sudah lengkap divaksin.

Sejak 24 jam lalu, terakhir, Thailand mencatat 13,256 kes baharu dan 131 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,524,613 dan korban seramai 15,884 orang.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button