info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Thailand: Ribuan penunjuk perasaan ingkar larangan berkumpul di Bangkok

86views

BANGKOK, 18 Okt  — Penunjuk perasaan terus mengingkari larangan berkumpul di ibu negara Thailand untuk empat hari berturut-turut dengan mengulangi tuntutan mereka termasuk peletakan jawatan perdana menteri.

Penunjuk perasaan yang berkumpul di Victory Monument dan Asoke hari ini, turut menggesa pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi institusi monarki.

Walaupun perintah darurat diisytiharkan di Bangkok untuk larangan perhimpunan politik lebih daripada lima orang, beribu-ribu penunjuk perasaan tetap berkumpul di Victory Monument dan Asoke bermula 4 petang (waktu tempatan) hari ini.

Cuaca buruk dan perkhidmatan pengangkutan awam yang diberhentikan sementara nyata gagal menghalang ribuan penunjuk perasaan yang memakai baju hujan dan payung menyertai protes itu hari ini.

Selain dua tapak protes utama itu, perhimpunan turut diadakan di Bang Na, Imperial Samrong di Samut Prakan, Central Plaza WestGate di Nonthaburi.

Pihak berkuasa menutup sementara beberapa stesen perkhidmatan Transit Aliran Metropolitan (MRT) dan Skitren Sistem Transit Massa (Skitren BTS) Bangkok bermula 2.30 petang, hari ini.

Selain itu, protes juga diadakan di seluruh negara diketuai oleh pergerakan belia, ‘The People’.

Pada Khamis, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan bahawa ‘situasi darurat serius di Bangkok’ untuk mengharamkan perhimpunan lima orang atau lebih, yang dilaksanakan pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan selama tiga bulan yang dipimpin pelajar.

Selain itu, ia juga melarang penerbitan berita dan mesej dalam talian yang menjejaskan keselamatan negara dan menimbulkan ketakutan atau menyebarkan maklumat palsu.

Sementara itu polis berkata swafoto penunjuk perasaan di tapak protes boleh dijadikan bukti untuk mendakwa penunjuk perasaan kerana melanggar perintah darurat yang mengharamkan perhimpunan politik.

— BERNAMA

Source link