Tiada halangan penduduk Lembah Pantai sampaikan mesej seperti biasa

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi komitmen kepada penduduk di Lembah Pantai untuk mereka bertemu dengan beliau serta mengajukan sebarang permasalahan yang dihadapi tanpa halangan biarpun kini menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai sejak 2018 itu berkata langkah ini bagi memastikan mutu perkhidmatannya sebagai wakil rakyat kekal konsisten seperti sebelum beliau dilantik memegang jawatan menteri.

“Siapa-siapa nak jumpa saya atau nak sampaikan mesej atau apa-apa, tiada tol, tiada orang jaga atau apa-apa, macam biasa, cuma kalau saya tiada di sini, boleh sahaja mesej saya di Facebook atau Twitter,” katanya ketika berucap di Program Jom Tonton Perlawanan Akhir Piala Dunia 2022 di Kompleks Sukan Ecopark, Pantai Dalam di sini malam ini.

Menyentuh mengenai monsun timur laut yang sedang melanda negara, Fahmi menasihati orang ramai agar kekal berwaspada dan mengelak daripada ke tempat yang dijangka terkesan akibat fenomena itu.

Pada program malam ini, ratusan penduduk sekitar Lembah Pantai hadir menyaksikan perlawanan akhir antara Argentina dan Perancis bersama Fahmi, yang juga Ketua Penerangan PKR.

Antara aktiviti yang disediakan pada program anjuran bersama Universiti Malaya CARIA, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, redone dan ATL Cosmetics itu ialah pertandingan sepakan penalti, timbang bola serta cabutan bertuah.

Turut hadir bekas Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Ramlan Askolani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Red One Network Sdn Bhd Farid Yunus dan Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button