info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Tiada Pembelian Panik Di Selangor

17views

SHAH ALAM, 10 Jan — Pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik meskipun timbul pelbagai dakwaan kerajaan akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) di enam negeri zon merah di media sosial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata ini kerana pemeriksaan dan tinjauan sedang giat dijalankan oleh 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga.

“Ia bertujuan melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan khas terhadap bekalan barangan keperluan dan keadaan aktiviti perniagaan di negeri ini.

“Penguatkuasa meninjau sama ada berlakunya pembelian panik susulan situasi semasa, di samping memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, KPDNHEP Selangor mengambil maklum mengenai situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

“Bagaimanapun, kita dapati ia adalah terkawal. Situasi panik ini mungkin menular dalam kalangan rakyat, berikutan pengumuman khas yang akan dibuat oleh kerajaan mengenai tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri tertentu,” katanya.

Beliau berkata, semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa dan ini menyumbang kepada kestabilan serta keberadaan barangan keperluan di pasaran.

“KPDNHEP Selangor sentiasa memantau secara harian barangan keperluan pengguna di seluruh negara bagi memastikan ia mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran, sekaligus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan barangan keperluan itu membabitkan 280 peruncit terpilih daerah, 119 Pemborong Terpilih Daerah, 32 Pengilang Terpilih Daerah di seluruh Selangor.

Katanya, KPDNHEP Selangor turut memastikan bahawa tidak berlakunya sebarang manipulasi harga dalam kalangan peniaga yang akhirnya akan membebankan pengguna nanti.

“Kepada peniaga, saya memberi amaran jangan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga melampau semasa PKPB berlangsung dan diharapkan semua peniaga dapat mematuhi peraturan perniagaan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Source Link