info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Perniagaan

Tiada pengumuman penting politik negara, Bursa ditutup kukuh

52views

BURSA Malaysia ditutup kukuh petang ini didorong oleh kejelasan yang kian nyata terhadap landskap politik dan ini telah menghidupkan kembali mood risiko yang boleh mempengaruhi pergerakan saham.

Pada pukul 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 6.77 mata atau 0.45 peratus kepada 1,525.20 daripada 1,518.43 ketika ditutup pada Isnin.

Bagaimanapun, pada sesi pagi, indeks utama dibuka rendah 4.25 mata kepada 1,514.18 dan bergerak antara 1,512.46 dan 1,527.04 sepanjang hari.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran bertukar menjadi positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 478 berbalas 460 manakala 468 kaunter tidak berubah, 719 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 5.96 bilion unit bernilai RM3.88 bilion daripada 5.97 bilion unit bernilai RM3.82 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata kaunter saham mewah khususnya telah kembali menarik perhatian sejak urus niaga sesi lewat tengah hari ini, dengan para pelabur melihat kejelasan politik tanpa sebarang pengumuman penting dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata perolehan yang dicatatkan hari ini turut disokong oleh aktiviti membeli saham murah yang dilihat pada kaunter berkaitan indek terpilih.

“Selain daripada itu, kami percaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah hanya akan memberi kesan minimum kepada pasaran saham.

“Tidak seperti PKP yang dilaksanakan pada Mac, kebanyakan perniagaan masih lagi beroperasi seperti biasa pada masa ini,” kata beliau kepada Bernama.

Pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga 27 Okt sementara di Sabah, ia bermula hari ini sehingga 26 Okt.

Ditanya adakah lawatan dua hari Menteri Luar China Wang Yi bermula hari ini dapat merancakkan permintaan untuk kaunter farmaseutikal, Yee berkata adalah terlalu awal untuk pasaran memberikan reaksi kerana buat masa ini tiada sebarang perjanjian mutlak telah dimeterai.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata, China telah bersetuju menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin COVID-19 yang dihasilkan negara itu sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan.

Dalam kalangan 30 kaunter FMB KLCI, lebih separuh daripadanya berada zon hijau, diterajui oleh Petronas Chemicals yang meningkat 15 sen kepada RM6.14. Top Glove naik 12 sen kepada RM9.09, Maxis menokok sembilan sen kepada RM5.12, IHH meningkat tujuh sen pada RM5.06 dan Public Bank mengukuh 14 sen kepada RM15.96.

Saham paling cergas termasuklah Advance Synergy dan Kanger International yang masing-masing naik 1.5 sen kepada 22 sen dan 20 sen, V Solar jatuh setengah sen kepada 3.5 sen manakala AT Systematization dan AirAsia X masing-masing kekal pada tujuh sen dan empat sen.

Saham paling untung – Nestle melonjak RM1.08 menjadi RM33.38, Rubberex meningkat 92 sen kepada RM7.40, Nestle menokok 90 sen kepada RM140.00, Comfort lebih tinggi sebanyak 53 sen kepada RM4.39 sementara Careplus menambah 30 sen kepada RM3.72 .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 46.32 mata kepada 11,014.84, Indeks FBMT 100 meningkat 46.10 mata kepada 10,832.99 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 77.51 mata kepada 13,183.81.

Indeks FBM 70 pula menokok 53.76 mata kepada 14,466.06 dan FBM ACE mengembang 122.56 mata kepada 10,702.52.

Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 16.69 mata kepada 12,561.68, Indeks Perladangan meningkat 31.08 mata kepada 7,033.26 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.44 mata kepada 143.76.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 3.76 bilion saham bernilai RM3.03 ​​bilion daripada 3.97 bilion saham bernilai RM3.10 bilion pada hari Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 469.04 juta unit bernilai RM118.50 juta berbanding 653.87 juta unit bernilai RM163.37 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.73 bilion saham bernilai RM734.66 juta berbanding 1.34 bilion saham bernilai RM552.21 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 1.84 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (721.66 juta), pembinaan (217.58 juta), teknologi (246.29 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (32.45 juta), hartanah (248.76 juta), perladangan (81.92 juta), REIT (5.80 juta), dana tertutup (sifarl), tenaga (128.36 juta), penjagaan kesihatan (120.83 juta), telekomunikasi dan media (35.81 juta), pengangkutan dan logistik (34.75 juta) dan utiliti (51.39 juta).

Source link