AntarabangsaBerita

Tiada Sijil Kelahiran Kerana Nama Terlalu Panjang

JAKARTA, 10 Okt — Pasangan dari Jawa Timur bimbang anak mereka yang berusia tiga tahun masih tiada surat kelahiran rasmi, hanya kerana namanya terlalu panjang dan didakwa tidak muat diisi dalam dokumen rasmi.

Justeru, suami isteri, Arif Akbar dan Suci Nur Aiysiah sanggup menulis surat terbuka langsung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Menurut laporan media tempatan Detik, pasangan itu berbuat demikian bagi membolehkan masalah nama anak mereka yang terlalu panjang hingga tidak muat dalam dokumen rasmi diselesaikan segera.

Nama penuh anak pasangan itu ialah Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta.

Mereka memanggil kanak-kanak itu dengan nama timangan, Cordo.

Menurut Detik, Arif berkata, nama anak lelakinya itu ada hubung kait dengan sejarah ketamadunan Islam.

Katanya, nama anaknya yang mempunyai 19 perkataan dan 115 huruf itu adalah hasil perbincangan dengan pakciknya Mujoko Zahid, seorang budayawan.

Sementara itu, menurut laman Kompas, pasangan suami isteri itu menolak syor pihak berkuasa untuk memendekan atau menukar nama anak mereka.

Ini kerana menurut mereka, nama yang dipilih sarat dengan makna serta harapan ibu bapa buat anak lelakinya.

Pihak berkuasa pula menerangkan kepada Kompas bahawa keputusan menolak permohonan dokumentasi pasangan itu adalah berdasarkan had jumlah abjad pada dokumen rasmi yang sekitar separuh daripada nama budak itu.

“Kami tegaskan bukan meminta ganti nama, tetapi dalam penulisan nama KK (surat kelahiran), KTP (kad pengenalan), akta harus disesuaikan maksimum 55 karakter huruf termasuk jarak,” jelas seorang jurucakap seperti dilaporkan laman itu.

Sementara itu, Arif dan isterinya masih ada masa dua tahun lagi sebelum anak mereka itu memerlukan dokumen rasmi bagi pendaftaran sekolah. – AGENSI

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button