BeritaCOVID19

Tiada SOP Untuk Rentas Negeri

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi, tidak akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu, sebaliknya menggunakan SOP sedia ada.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan juga tidak akan mewajibkan pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 kepada individu belum atau menolak vaksin, yang mahu merentas negeri.

Katanya, cadangan mewajibkan ujian kendiri sudah dikaji dan pihaknya mendapati ia sukar untuk dikuatkuasakan, sekali gus berharap semua pihak perlu jujur dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga jika mahu merentas negeri.

“Kita dah kaji cadangan itu tapi tiada cara untuk kuat kuasakannya. Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri.

“Ini tidak seperti gelembung pelancongan di Langkawi kerana jumlahnya tidak ramai. Ini (rentas negeri) babitkan jalan keluar masuk di semua negeri, mustahil untuk kita periksa semua.

“Cuma SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada akan terus digunakan. Ertinya, jika ada individu belum divaksin yang merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya saranan pakar kesihatan awam yang mencadangkan supaya individu yang menolak vaksin atau belum divaksin, diwajibkan menjalani ujian kendiri COVID-19 jika mahu merentas negeri.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter memaklumkan larangan rentas negeri akan berakhir beberapa hari lagi selaras kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang semakin menghampiri 90 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Portal COVIDNOW ketika ini menunjukkan kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencecah 88.8 peratus setakat tengah malam tadi, iaitu 1.2 peratus lagi sebelum rentas negeri dibenarkan.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan kerajaan tidak mahu mewujudkan terlalu banyak SOP untuk rentas negeri, selaras persediaan negara untuk keluar daripada pandemik.

“Kita dah sampai tahap 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin. Sekarang yang perlu adalah kawalan kendiri dan pemerkasaan individu dan komuniti.

“Saranan yang saya dan Ketua Pengarah Kesihatan maklumkan (kekal patuhi SOP dan laksana ujian kendiri sebelum rentas negeri) itu sudah terbaik untuk pastikan kita tidak bawa pulang virus dan keluarga di kampung kekal selamat,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan polis akan terus melaksanakan Operasi Pematuhan Pemantauan (Ops Patuh) bagi memantau jika ada individu tidak divaksin yang melanggar SOP digariskan.

“Polis akan terus ke kedai makan secara rawak dan memeriksa sama ada pelanggan sudah divaksin atau tidak. Jika didapati ada yang tidak divaksin, pelanggan dan pemilik premis akan dikenakan kompaun,” katanya.

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button