Perniagaan

Tiada Suntikan Kewangan Dari Kerajaan Untuk Syarikat Penerbangan

103views

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa tiada pembiayaan atau jaminan kerajaan yang telah diluluskan kepada mana-mana syarikat penerbangan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan laporan media mengenai AirAsia Group Bhd yang mendakwa mendapat suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion (AS$242 juta) daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih dari kejatuhan disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut laporan Nikkei Asia, berdasarkan sumber kementerian dan syarikat penerbangan, kerajaan dikatakan sudah meluluskan pinjaman itu.

Menurut sumber, pinjaman akan diberikan beberapa bank tempatan di bawah skim kerajaan untuk membantu syarikat itu menangani wabak dan akan dijamin 80 peratus oleh MoF.

“RM1 bilion itu dianggap sangat penting bagi AirAsia, untuk digunakan bagi pembayaran pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja.

“Pembayaran dijangka dibuat pada bulan hadapan,” kata sumber berkenaan.

AirAsia sebelum ini dilaporkan akan melaksanakan pembuangan pekerja bulan depan jika keadaan kewangannya masih mencatatkan penurunan, selepas mengurangkan lebih 10 peratus tenaga kerjanya serta merancang untuk mengurangkan bilangan pesawat.

Dalam temubual dengan Nikkei pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan bahawa syarikat penerbangan itu perlu mengumpulkan RM2 bilion dalam tempoh enam bulan akan datang untuk berada dalam kedudukan yang selesa.

Sumber berkata, kerajaan pada awalnya menawarkan pinjaman sebanyak RM500 juta tetapi akhirnya menaikkan pinjaman itu seiring permintaan AirAsia.

Pinjaman kepada AirAsia dilaporkan akan dikeluarkan oleh institusi kewangan tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin RM50 bilion, yang dikendalikan oleh Danajamin Nasional, penjamin kewangan milik kerajaan.

Skim itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat yang menerima impak pandemik Covid-19.

Source link