info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tiada Syarikat Dapat Kontrak Baharu Jalankan Aktiviti Kuari Di Gunung Kanthan

68views

IPOH, 5 Jun  — Tidak wujud isu penganugerahan atau penyambungan kontrak kepada mana-mana syarikat untuk membuat aktiviti kuari yang baharu di Gunung Kanthan seperti tular dalam media sosial sebelum ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Beliau berkata ini kerana syarikat pengusaha kuari sedia ada belum mengemukakan sebarang perancangan untuk mengusahakan bukit C dan D di gunung tersebut kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak malah akan mengekalkan usaha konservasi flora dan fauna yang telah wujud di kawasan berkenaan.

“Untuk makluman semua, Gunung Kanthan diluluskan sebagai kawasan pengkuarian sejak 1970-an yang selaras dengan zon guna tanah dan kelas kegunaan tanah seperti ditetapkan dalam Rancangan Tempatan Ipoh 2020 yang diwartakan pada 5 Julai 2012.

“Kawasan pengkuarian di Gunung Kanthan dibahagikan kepada empat kawasan iaitu bukit  A, B, C dan D. Pada masa ini, pihak pengusaha kuari sedang melakukan kegiatan pengkuarian secara terkawal di bukit A dan B mengikut Surat Kelulusan Skim Kuari (SKSK) yang diluluskan oleh JMG Perak bagi tempoh 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2021.

“Pihak syarikat berkenaan akan mengekalkan bukit D sebagai kawasan pemuliharaan sekali gus membantu usaha konservasi flora dan fauna melalui perbincangan bersama Perbadanan Taman Negeri Perak pada 21 April yang lepas,” katanya kepada Bernama.

Nolee Ashilin mengulas isu tersebut yang tular menerusi media sosial sebelum ini yang antara lain mendakwa kononnya kerajaan Perak telah menganugerahkan dan melanjutkan kontrak aktiviti kuari kepada sebuah syarikat sekali gus merosakkan usaha konservasi flora dan fauna di kawasan tersebut.

Jelasnya, pengusaha kuari juga telah bersetuju untuk menjadikan bukit D, lokasi terletaknya geotapak Gua Kanthan yang terkenal dengan satu spesies endemik labah-labah yang sangat terancam iaitu Liphistius kanthan, sebagai kawasan pemuliharaan.

Beliau menarik perhatian, usahasama juga telah dijalankan dengan institusi seperti Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah dan Monash University serta badan bukan kerajaan berkaitan termasuk Tropical Rainforest Conservation and Research Centre untuk menjalankan penyelidikan mengenai habitat dan spesies sedia ada di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata mengenai isu Taman Eko Rimba Hulu Kinta pula, pihaknya mendapati kebanyakan kemudahan sedia ada, diperbaiki atau dinaik taraf telah dirosakkan pihak tertentu.

“Isu kualiti air sungai yang kerap menjadi keruh kemungkinan akibat empangan Lembaga Air Perak apabila waktu pelepasan air dan hingga kini Jabatan Perhutanan masih menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dalam skala kecil.

“Jabatan Perhutanan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menangani isu ini termasuk pendekatan untuk menswastakan pengurusan Taman Eko Rimba,” katanya.

Sebelum ini dilapor, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar mendesak pihak berkuasa negeri campur tangan dalam memulihara dan mengekalkan dua geotapak berkenaan iaitu Gunung Kanthan dan Taman Eko Rimba Hulu Kinta (Hutan Lipur Hulu Kinta) kerana menghadapi risiko pemusnahan tanpa diberi perhatian yang sewajarnya.

— BERNAMA

Source link